04/08/2026
Padu
𝐇𝐈𝐌𝐏𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐑𝐗𝐙 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑𝐒 𝟖.𝟎
1. Tahniah buat penganjur anak-anak muda yang menggerakkan inisiatif penganjuran ini dari edisi 1.0 hingga 8.0. Penganjuran ini bukan suatu perkara yang mudah untuk menguruskan ratusan ribu peserta. Malah menuntut komitmen padu semua pasukan kerja. Ia kerja hebat.
2. Ia bukan penganjuran Kerajaan Negeri. Penganjur menyewa dan menggunakan premis milik Kerajaan Negeri. Limpahan ekonomi pasti ada untuk semua pihak. Orang politik dari pihak Kerajaan Negeri tidak menumpang untuk ‘mileage politic’ dari penganjuran ini. Hanya menyokong usaha anak muda. Dijemput kami raikan. Tidak dijemput pun tiada masalah. Tahun ini mereka jemput, tapi kami tidak berkesempatan hadir. Eloklah tidak dijemput. Bila kami hadir, dilihat kami p**a sebagai penganjur.
3. Aspek keselamatan. Tiada penganjur yang mahukan peserta mereka terlibat kemalangan. Nasihat daripada penganjur dan dari pelbagai pihak cukup banyak diberikan agar berhati-hati di jalanraya. Slogan penganjuran juga diubah dari “Yang Kental Pasti Sampai” kepada “Yang Santai Pasti Sampai”.
4. Menjadi kelaziman, setakat yang saya tahu, pihak penganjur akan menziarahi keluarga mangsa selepas himpunan berlangsung dan menyampaikan sumbangan. Sekalipun nyawa yang pergi tidak akan kembali lagi. Tetapi ia tanda ingatan, rasa simpati dan sedikit sumbangan buat keluarga mangsa. Takziah buat semua keluarga mangsa.
5. Konvoi motosikal perlu tekankan aspek keselamatan berkonvoi. Perlu ada pemimpin konvoi, bukan sesuka hati berkonvoi. Perlu ada pendedahan keselamatan tentang disiplin konvoi. Pun begitu, kita semua tidak akan dapat melarikan diri dari susunan takdir. Yang penting usaha menangani sebagai pencegahan.
6. Pro dan kontra program sebegini pasti ada. Perlu dikaji secara teliti secara keseluruhan. Saya percaya, usaha penambahbaikan sentiasa diusahakan oleh pihak penganjur secara keseluruhan dari edisi awal hingga terkini.
7. Ratusan ribu yang hadir membawa pelbagai aksi, pelbagai ragam dan pelbagai perangai. Sudut positif peserta juga perlu dilihat. Tapi jarang orang sebarkan. Tidak boleh hanya melihat dari sudut negatif dan memberikan fokus hanya aspek negatif semata-mata.
8. Untuk akan datang, saya harap pihak PDRM tidak gambarkan program ini sebebasnya dalam media. Seperti ‘Tiada Pukat RXZ Members 8.0’. Ia mengundang rasa ‘ada jaminan’ tiada penguatkuasaan walaupun hakikatnya PDRM ada melakukan penguatkuasaan. Tetapi tidaklah sampai ke peringkat seperti satu edisi terdahulu, pihak PDRM dan JPJ ‘pukat’ dan sita motosikal di kawasan program. Ia tidak mesra. Penguatkuasaan sangat perlu bagi kes-kes yang jelas melanggar undang-undang jalanraya.
9. Penglibatan masjid-masjid yang berdekatan. Ia antara paling menarik. Selain tujuan mempermudahkan urusan peserta, mesej tersirat pihak masjid adalah untuk dakwah. Jiwa anak muda yang mesti sentiasa akrab dengan masjid dan surau. Solat tidak ditinggalkan. Berhibur tanpa berlebihan.
10. Isu sampah. Ia isu sikap. Sikap orang-orang kita. Apatah lagi dalam program super mega sebegini. Ia perlu kesedaran sivik. Datanglah program apa pun, semua terkesan dengan sampah. Aksi Big Screen sempena Final World Cup di Dataran Merdeka tempohari, ada isu sampah. Himpunan Aman pun ada isu sampah. Menonton perlawanan bola sepak di stadium juga ada isu sampah. Malah tidak berprogram pun kita bermasalah dengan isu sampah. Semua pihak perlu ubah diri untuk lebih cakna kebersihan.
11. Isu pakaian. Khususnya peserta wanita. Sukar untuk dikawal. Hanya mengharapkan kesedaran, ia seperti menanti hujan di tengahari. Atau bagaikan menggapai bulan di langit. Tapi kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sanggupkah penguatkuasa bergelewak dalam program ini untuk memastikan pematuhan etika berpakaian ini?
12. Sebelum penutup. Saya tidak memilih untuk menghukum. Saya memilih untuk terus mengajak semua pihak lebih terbuka. Penganjur terbuka, masyarakat terbuka, pendakwah terbuka, pemimpin terbuka. Terbuka untuk perbaiki dengan lebih baik. Yang mana kurang kita perbaiki. Yang mana lemah kita atasi. Marilah duduk semeja untuk sama-sama memperbaiki. Para pendakwah wajar melihat aspek yang lebih luas demi dakwah. Peserta bukan semuanya terdidik dengan agama. Tapi mereka berhak untuk dididik dengan penuh kasih sayang. Gembira mendengar berita ada yang tak pernah solat puluhan tahun tapi berusaha solat ketika menumpang kasih di sebuah masjid.
13. Penutup. Terima kasih penduduk Terengganu yang bagi peluang tetamu peserta Himpunan RXZ Members hadir ke tempat kita untuk tempoh dua hari. Ada pahit, ada manis. Terpaksa meredah sawang asap dan berselsema 2T dalam tempoh itu. Pastinya kita semua mengharapkan semua penganjuran dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.