27/10/2026
WORLD STROKE DAY 2026 | 𝗦𝗬𝗠𝗣𝗢𝗦𝗜𝗨𝗠 & 𝗜𝗖𝗨 𝗥𝗘𝗛𝗔𝗕 𝗪𝗢𝗥𝗞𝗦𝗛𝗢𝗣
Sempena Hari Strok Sedunia 2026, Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) telah menganjurkan Simposium: Navigating Life After Stroke serta ICU Rehab Workshop hasil kerjasama strategik antara HPUNIMAS, Persatuan Profesional Rehabilitasi Sarawak, China Medical University Hospital (CMUH), Taiwan dan Laila Stroke Centre.
Program ini telah dirasmikan oleh Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Kuching Selatan, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian. Seramai hampir 200 peserta yang terdiri daripada pesakit strok dan keluarga, doktor, jurupulih fisioterapi serta jurupulih terapi carakerja telah menghadiri program ini.
Simposium ini menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu dan maklumat berkaitan rehabilitasi strok bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat mengenai kepentingan proses pemulihan selepas strok. Penekanan turut diberikan kepada peranan rehabilitasi sebagai komponen utama dalam perjalanan pemulihan pesakit, termasuk kepentingan penjagaan kesihatan bersepadu, sokongan keluarga dan tindakan kecemasan yang pantas.
Pada sesi petang, ICU Rehab Workshop telah diadakan khusus untuk jurupulih fisioterapi dan jurupulih terapi carakerja bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta perkongsian pengalaman dalam bidang rehabilitasi kritikal dan pemulihan pesakit.
Semoga kerjasama strategik ini terus memperkasa perkhidmatan rehabilitasi di Sarawak dan memberi manfaat yang berterusan kepada pesakit, keluarga serta komuniti.