03/11/2026
𝗧𝗨𝗟𝗜𝗦 𝗛𝗔𝗗𝗜𝗧𝗛/ 𝗔𝗟-𝗤𝗨𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗞𝗘𝗥𝗧𝗔𝗦, 𝗣𝗘𝗥𝗖𝗔𝗬𝗔 𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗦𝗘𝗠𝗕𝗨𝗛 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗨𝗡𝗬𝗔𝗜 𝗨𝗡𝗦𝗨𝗥 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗟 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗟𝗔𝗥𝗔𝗡𝗚.
𝗦𝗼𝗮𝗹𝗮𝗻 :
Assalamualaikum Ustaz
Pada hari sabtu yang lepas saya dan isteri pergi berubat bersama seorang sheikh dari mesir.isteri saya mengalami gangguan semasa tidur. Sheikh telah menyuruh kami untuk mengamalkan risalah Abu Dujanah di mana sheikh menulis risalah itu di atas kertas dan meminta untuk isteri saya bawa kertas tu ke mana2 untuk mengelakkan gangguan jin, termasuk meletakkanya di bawah bantal semasa tidur dan meletakkan kertas itu di kawasan badan yang sakit
Jadi persoalan saya, apakah hukum mengamalkan perbuatan tersebut dan adakah hadith sohih membenarkan amalan tersebut.
Adakah perbuatan tersebut termasuk daripada mempercayai tangkal?
Terima kasih.
𝗝𝗮𝘄𝗮𝗽𝗮𝗻 :
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Risalah Abu Dujanah diambil daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah. Walau bagaimanapun, hadis tersebut dihukumkan sebagai sebagai palsu (Maudhu') oleh ahli hadis. Antara yang menghukumkannya sebagai palsu adalah Imam al-Zahabi. Oleh itu, masyarakat hendaklah mengelakkan daripada mengamalkan risalah tersebut.
Selain itu, perbuatan menulis hadis mahupun ayat al-Quran di atas kertas atau apa-apa objek dengan beriktikad bahawa ia boleh menyembuhkan mempunyai unsur tangkal (tamaim) yang ditegah oleh syarak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
Maksudnya: Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Masyarakat dinasihatkan agar merujuk kepada kaedah perubatan Islam yang diakui oleh syarak dan diterima oleh para ulama. Terdapat pelbagai kaedah perubatan Islam di luar sana yang diterima kerana berpandukan kepada nas yang sahih.
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
Sumber :
Soal jawab agama.
Website Jabatan Mufti Negeri Selangor.
https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=4010